Pengorbanan demi sebuah Perubahan
Perubahan itu sukar. Dan bagi segelintir, ianya memeritkan. Perubahan menjadi lebih menyakitkan apabila seseorang itu sudah selesa dan terlalu biasa dengan keadaan yang sedia ada. Namun, perubahan itu sangat perlu andai ianya bertujuan untuk kebaikan dan kearah sesuatu yang lebih baik.
Setiap orang perlu melalui titik-titik perubahan di dalam kehidupan mereka. Yang menjadi persoalan, sejauh manakah perubahan itu bisa menjadikan seseorang itu lebih maju dan kehadapan - satu titik tolak daripada kedudukannya sebelum itu. Andai perubahan itu membawa dia ke satu tingkat graf yang menurun, maka rasanya – seluruh kehidupannya selepas itu akan dirundung satu belenggu kegusaran dan kebimbangan… apakah ada lagi satu keadaan yang lebih buruk selepas itu?
Aku juga sebagai manusia biasa yang melalui roda kehidupan aku sendiri; telah mengalami beberapa titik perubahan dalam hidup. Daripada seorang anak yang naif dan penurut, aku kemudiannya pernah melalui episod pemberontakan diri yang mengheret aku ke beberapa kenangan yang hari ini, aku klasifikan sebagai ‘saat mendung’ di dalam perjalanan hidup. Syukur, aku kira.. aku tidak pernah pula menyesal. Mungkin kerana memikirkan bahawa keterjadian tersebut memberikan aku pengalaman-pengalaman yang dapat mengajar serta mengingatkan aku supaya tidak pergi lagi ke situ. Yang sudah itu sudah. Apa yang pasti, pada saat hari ini, titik masa hari ini, aku sudah punya seorang suami yang menerima kekurangan diri dan menghadiahkan aku seorang permata hati yang menjadi sumber kekuatan harianku.
Kali ini, aku berdepan dengan satu lagi keputusan yang menagih perubahan. Perubahan itu pula menuntut pengorbanan walau ianya menjanjikan pulangan yang bakal menaikkan ‘graf kehidupanku’. Benar kata orang, segala pulangan baik itu, berbayar dan bukan percuma. Kehidupan itu juga bukanlah percuma, malahan berbayar. Usia yang meningkat merupakan satu ‘yuran’ yang telah ‘dicajkan’ oleh yang Esa kepada umatnya.
Ingat kata-kata seorang kenalan yang menjawab apabila aku bercerita tentang pelan perubahan yang ingin aku laksanakan.
“Terpulang pada kau. Yang pasti semua perubahan ada pro dan kontra. Kau mungkin dapat apa yang kau mahu dan inginkan, tapi sebaliknya terpaksa menukarkan ia dengan apa yang kau ada selama ini..”
“Pada masa yang sama… fikirlah. Kau sudah cukup selesa dengan kedudukan kau sekarang. Apa yang kau ada kini, cukup-cukup. Tapi, everything is in portion..”
“Kalau kau pilih untuk berubah.. Keseimbangan yang kau ada hari ini pastinya berubah. Kau tidak lagi selesa seperti dulu. Yang cukup-cukup kau ada sebelum ini, terpaksa kau korbankan menjadi, lebih di sini dan kurang pula di situ.. tepuk dada, kau tanyalah selera!”.
Bergetar juga keyakinan aku dibuatnya. Itulah jadinya bila mulut ini senang sangat nak berkongsi cerita. Akibatnya, pendirian jadi goyah.
Jadi aku tanya kembali pada diri. Dan aku hampir temui jawapannya. Aku harus melalui perubahan itu, demi meningkatkan titik pada graf hidup. Ya, ia menuntut perubahan situasi dan selebihnya; pengorbanan diri.. Apapun aku yakin…selagi keputusanku itu diiringi restu dari sang suami serta niat yang sepenuhnya untuk melindungi serta membesarkan permata hatiku dengan selesa kerana yang Esa.. aku pasti, Dia akan menyuluh dan membimbingku.. seperti selalu.. saat aku tidur, jaga dan terleka!
