Antara yang kusayang

September 16, 2008 at 1:06 pm (My Mood Track) (, )

Aku ada banyak perkara, objek dan manusia yang aku sayang. Terlalu banyak hinggakan ada yang mungkin menganggap rasa sayang aku ini mudah dan murah. Tapi itu hakikatnya. Terlalu banyak ciptaan dan kurniaan yang Esa ini menjadi kesayangan aku.

 

Aku sayangkan kelulusan akademikku.

 

Aku sayangkan bunga-bunga kecil berwarna merah, putih, kuning dan unggu yang berkembang di laman rumah jiranku di waktu pagi.

 

Aku sayangkan kereta perodua merahku.

 

Aku sayangkan babah dan adik-adikku.

 

Aku sayang amat pada buah hatiku, abang dan Emil.

 

Aku sayangkan telifon bimbitku.

 

Aku sayangkan teman-teman rapatku.

Tapi sayang, bilangannya adalah amat, amat terhad.

 

Aku pernah menulis di dalam blog ‘inggeris’ ku yang satu lagi, mengenai teman-teman yang aku punyai. “Where all my friends go?” tajuknya.  Mengenai kebuntuan dan persoalan dalamanku tentang kemana hilangnya rakan-rakan yang satu waktu dulu pernah kubanggakan bilangannya. Satu ketika dulu, kemana saja aku pergi – pasti ada saja kawan yang menyapa di tengah perjalanan. Sampai adakala aku bertanya-tanya dengan ingatan – siapa agaknya nama dia ini? Tapi hari demi hari, bulan menginjak tahun, makin sukar aku temui rakan-rakan di jalanan. Bukan saja itu, ada di antara mereka menghilang begitu sahaja. Ada di antara mereka kudengar beritanya, tapi berita cuma setakat berita. Keakraban yang pernah terjalin hilang mcm tu sahaja, dibawa arus masa mungkin. Ada yang aku jumpa jejaknya, tapi sayang kemanisan persahabatan itu sudah tak sesedap dulu.

 

Ingat lagi, begitu mudah mengenal sahabat. Bahu tersinggung bahu dalam perjalanan ke kuliah; boleh menjadi kawan. Ketawa bertukar ketawa diatas jenaka yang difahami bersama, boleh mencetus hubungan kawan. Minat yang sama boleh membina satu ikatan, hubungan kawan yang kuat. Belajar di sekolah rendah yang sama, walhal sering bercakaran di zaman kanak-kanak; bila besar.. rapat sungguh sebagai kawan. Tiada syarat untuk menjadi seorang kawan. Tiada kondisi untuk membina persahabatan.

 

Mungkin, kerana ianya cukup mudah dibina; strukturnya juga agak rapuh agaknya. Cuma kerana beberapa sebab yang kabur dan kadang kala mungkin kerana tiada sebab -sesebuah persahabatan itu kadangkala akhirnya menemui noktah yang tak berpenghujung.

 

Tapi.. disebalik kerapuhan itu, ada satu yang aku percaya. Aku percaya, kawan yang baik akan kekal sepanjang hayat. Ramai kawan datang dan pergi, tetapi kawan yang baik akan tetap setia meneman baik buruk kehidupan yang kita ada. Dan Tuhan itu Maha Kaya dan Pemurah kerana menghadiahkan aku beberapa orang teman yang baik.

 

Dan aku ingin berterima kasih kepada semua kawan-kawan yang masih sudi menemani kehidupanku. Yang menampung aku di saat hari-hari jatuh ku. Yang memandang tinggi padaku walau hakikatnya, aku sudah tidak memiliki apa-apa lagi yang dapat dibanggakan. Yang sama-sama ketawa dan bergembira di waktu suka ku.

 

Terima kasih kerana menerima insan yang pelik ini.

Pautan Kekal Tinggalkan Komen